Sekadar gambar hiasan
Professionalism dan Mutu Pengadilan
Tidak dinafikan bahawa mutu pengadilan bola sepak di Malaysia bukanlah berada di tahap yang terbaik. isu ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah berlaku di seluruh dunia termasuk pada kejohanan-kejohanan besar seperti Piala Dunia dan juga di liga-liga terkemuka dunia seperti Liga Perdana Inggeris (English Premier League - EPL). Persoalan yang timbul adalah, kemana perginya etika dan professionalism seseorang pegawai sukan atau pengurus dalam menangani isu ini? Apakah sudah tidak ada cara lain yang lebih efektif untuk menanganinya? Dan adakah dengan tindakan mengamuk dihadapan orang ramai dapat menyelesaikan masalah?
Pada hemat saya, tindakan ini membuktikan ketidak matangan seseorang di dalam mengendalikan krisis. Mungkin ramai akan mempersoalkan pendapat ini, lalu mengeluarkan kata-kata seperti "Kita tak berada di situasi tersebut, senang untuk kita bercakap". Pandangan ini seolah-olah menghalalkan perbuatan tidak beretika ini. Maka hasilnya, insiden-insiden seperti diatas berlaku saban hari di mana-mana tanpa ada penyelesaian. Ianya diburukkan lagi dengan pelbagai pendapat daripada 'pengadil-pengadil professional tidak terlatih' di bangku-bangku penonton yang merasakan merekalah lebih layak untuk menjadi pengadil.
Karenah birokrasi yang menyusahkan
Antara sebab dan alasan tindakan 'kampung' seperti diatas diambil adalah kerana karenah birokrasi yang menyusahkan. Pada hemat mereka, daripada melalui sistem birokrasi ini, tindakan ala koboi adalah jalan terbaik untuk menyedarkan pihak yang berkaitan. Tetapi pernahkan tindakan ini mampu menyelesaikan masalah? Persepsi yang tidak sihat keatas individu dan kelab, denda yang mungkin akan dikenakan, permusuhan baru yang bakal menimbulkan pelbagai masalah baru merupakan 'hasil' daripada tindakan ini. Jadi, daripada menimbulkan masalah baru, adalah lebih baik kita mengikut prosedur yang betul dalam membuat bantahan. Tetapi adakah kita harus akur, berdiam diri dan sentiasa bersetuju dengan sistem yang kita anggap tidak berkesan ini??
Penambahbaikan
Penambahbaikan terhadap beberapa perkara dan sistem itu sendiri boleh dilakukan, antaranya :
1. Menghasilkan satu sistem "online" yang mampu diakses oleh beberapa individu atau panel didalam sesebuah kelab, yang mempunyai "link" terus kepada FAM. Sistem ini berfungsi sebagai maklumbalas beberapa panel terhadap mutu pengadilan sesuatu perlawanan, dan juga saluran aduan kepada FAM supaya FAM boleh mengkaji dan mengambil tindakan diatas kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pengadil. Ianya boleh menggantikan karenah birokrasi aduan yang menyusahkan.
2. Penggunaan teknologi. Beberapa sukan seperti ragbi, hoki dan tenis mempunyai mekanisme aduan "on the spot" diatas padang, dimana pemain boleh melakukan "challenge" terhadap keputusan pengadil, di mana keputusan akan dibuat oleh 'pengadil tambahan' yang berada di luar padang - analisis video. Presiden FIFA Sepp Blatter pernah membuat kenyataan bahawa teknologi-teknologi ini bakal 'membunuh' keindahan sesuatu pertandingan, malah berkeras untuk tidak menggunakan teknologi-teknologi ini. Yang sebenarnya, masalah-masalah teknikal lah yang akan membunuh sukan yang akhirnya memberi gambaran negatif terhadap sesuatu sukan.
3. Pengadil dijadikan sebagai kerja tetap. Seperti yang kita maklum, pengadil-pengadil bola sepak bukanlah terdiri daripada pengadil sepenuh masa, tetapi merupakan tugas sambilan. Jadi ramai yang mempertikaikan kerjaya-kerjaya pengadil-pengadil ini makan timbullah suara-suara "Pergi jadi cikgu/poli/bomba etc lagi baik!!". Mungkin FAM boleh menjadikan pengadilan sebagai satu kerjaya tetap dengan latihan intensif. Tetapi cadangan ini agak kurang rasional kerana ianya melibatkan kos pengurusan yang sangat tinggi.
"Alah, orang EPL pun buat.Kau pulak kecoh"
Jadi, marilah kita mengambil iktibar diatas insiden-insiden ini dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan ini walau sukan apa yang kita ceburi, walau di peringkat mana sekalipun, agar objektif sukan dalam melahirkan individu-individu professional dan menyatukan peminat-peminat sukan tercapai, bukan sebaliknya.
"KEARAH PROFESSIONALISMA SUKAN"
Abdul Hadi bin Ruslan,
Pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi,
Universiti Teknologi MARA Shah Alam.