14 Aug 2011

Kepentingan meluruskan dan merapatkan saf

KEPENTINGAN MELURUSKAN DAN MERAPATKAN SAF

Bulan Ramadhan datang menjelma, dan umat Islam berlumba-lumba mengimarahkan masjid-masjid dan surau-surau untuk melaksanakan solat sunat tarawikh yang menjadi sunnah Rasulullah. Umat Islam lebih memilih untuk mengerjakan solat sunat tarawikh secara berjamaah untuk mendapatkan lebih keberkatan. Tetapi kita sering lupa untuk melaksanakan satu tuntutan yang sangat penting ketika melakukan solat berjemaah, iaitu merapatkan dan meluruskan saf.

Rasulullah amat menitik beratkan soal saf yang rapat dan lurus, buktinya sebelum baginda mengimamkan solat berjemaah, baginda akan berkata "Luruskan saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku."(Riwayat Bukhari)

Tuntutan merapatkan dan meluruskan saf ini disokong lagi dengan hadith :

Maksud: Daripada 'Abdullah B. 'Umar, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan.
Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya. (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)

Terdapat beberapa kepentingan mengapa kita harus merapatkan dan meluruskan saf. Antara kepentingan tersebut adalah ia akan menambahkan lagi keakraban dan ikatan antara sesama Muslim. Ia dapat dilihat melalui hadith nabi yang berikut :

Dari Bara' bin azib ia berkat: Adalah Rasulullah SAW mendatangi salah satu sudut saf & baginda meluruskan antara bahu & dada orang-orang yg berbaris seraya Baginda bersabda: "Jangan kamu berselerakkan kelak hatimu akan berselerak" "dan Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah & malaikat-Nya mendoakan orang-orang yg menempati saf yg pertama."

(Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Selain daripada itu, saf yang lurus dan rapat juga akan mengelakkan daripada syaitan dapat menyusup diantara celah-celah saf kita untuk mengganggu kita ketika kita sedang solat, kerana menurut sabda Rasulullah:

Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).

Bukan sahaja Rasulullah,tetapi para sahabat juga mengikut sunnah Rasulullah ini. Pada zaman Umar al-Khattab, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf kepada seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga orang yang membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf telah benar-benar lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin Abu Talib, mereka berdua bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan oleh Umar. Dulu, Ali selalu mengatakan: "Maju wahai si fulan! Mundur sedikit wahai si fulan!"

Cara merapatkan dan meluruskan saf yang betul

Maksud: Dari Anas B. Malik (radhiyallahu 'anhu), beliau menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyuruh supaya para makmum merapatkan saf-saf mereka dan Nabi akan dapat memerhatikan mereka dari belakang. Dan pada ketika itu masing-masing di antara kami pun saling merapatkanlah bahu dengan bahu dan telapak kaki dengan telapak kaki yang di sebelah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, 3/154, no. 683)

Secara ringkasnya, cara yang betul untuk merapatkan dan meluruskan saf adalah seperti berikut :

1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.

2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.

3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan dengannya.



Kedudukan dalam saf dengan cara yang betul

Kedudukan dalam saf dengan cara yang salah

Kesalahan yang sering dilakukan ketika solat berjamaah

Semoga artikel ini dapat memberi gambaran sedikit sebanyak tentang betapa pentingnya untuk kita merapatkan saf dan meluruskan saf. Kata-kata yang dilafazkan imam sebelum memulakan solat bukan hanya sekadar pemanis, melainkan satu tuntutan yang wajib kita lakukan. Wallahualam

“Sesungguhnya Allah menyukai jika perjuangan dijalannya dilakukan secara tersusun seperti satu saf seolah-olahnya nerepa merupakan sebuah bangunan yang kukuh.”

( As-Saff : 4)

1 comment:

Amie Diyana said...

encik adie..(:
kalau pompuan,kaki nak kangkang camtu gak ke?