26 Feb 2013

Nabil, Salleh Yaakob dan politik sempit

Baru-baru ini heboh di wall-wall Facebook, video Nabil dan Salleh Yaakob yang bertajuk "Lebih Bangang Dari Longkang" di YouTube tersebar luas, terutamanya di wall-wall penyokong pembangkang. Video yang jelas memerli dan mengutuk manifesto Pakatan Rakyat tersebut mendapat kritikan, kejian, cacian, dan bermacam-macam lagi bentuk respon daripada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat. Dan cadangan memboikot kedua-dua artis ini menjadi perkara yang wajib, bagi golongan ini. Tidak kurang juga ada penyokong kerajaan menyokong tindakan mereka berdua yang mereka anggap "sangat kelakar dan sesuai dengan isu semasa".

HARUSKAH PERKARA INI TERJADI??



Politik sempit dan pejuang papan kekunci

Kita mengharapkan politik yang matang, selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Semboyan revolusi politik, lebih spesifik kebebasan dalam berpolitik dan memilih dilaungkan oleh Pakatan Rakyat, dengan harapan pengikut mereka turut serta dalam kempen ini dan mengambil bahagian. Tetapi malangnya bunyi semboyan tersebut tidak mampu untuk sampai ke pelosok tanah air. Tatkala penyokong Pakatan Rakyat kecewa apabila penjawat awam dan mahasiswa dipaksa untuk menyokong kerajaan persekutuan, mereka tanpa sedar melakukan hal yang sama kepada orang yang tidak menyokong mereka. Yang tidak sefahaman dengan mereka akan digelar "macai" dan sebagainya. Jika benar kita ingin politik bebas, biarkan lah siapa pun yang mereka sokong, asalkan tidak menghina Islam, menghina ulamak dan mencemarkan kedaulatan negara. 

Perbuatan memboikot adalah pilihan sendiri, kerana artis-artis yang menyokong Pakatan Rakyat juga banyak diboikot oleh "pencinta hiburan dunia". Tetapi perkataan-perkatan menghina, membuka aib bukanlah tindakan yang bijak, dan ia mencerminkan sikap buruk pejuang-pejuang yang mengganggap diri mereka adalah pejuang Islam. Sikap ini banyak terdapat di kalangan pejuang papan kekunci (keyboard warriors) yang tidak faham perjuangan, tetapi hanya ingin meluahkan perasaan tidak puas hati dan marah mereka kepada kerajaan. Jadi jika sayangkan Pakatan Rakyat, masuk jemaah dan fokus kepada perjuangan, bukan melakukan perkara yang merugikan Pakatan Rakyat.


Hujah VS Hujah, Fakta VS Fakta

Hal ini semakin berkurangan tatkala ini. Puas Ketua Dewan Pemuda PAS menyeru anak buahnya agar melawan hujah dengan hujah, atau jika mereka mencaci, kita berikan hujah. Ianya akan menyerlahkan kebenaran kita dan menampakkan kebodohan di pihak lawan. Tapi malangnya hal ini tidak diendahkan, dan darah muda yang mengalir dalam golongan yang baru boleh mendaftar pengundi mendidih-didih jika diprovokasi, maka terciptalah "karya-karya pembuka aib" dan kata-kata cacian menghiasi arena perdebatan media sosial. Jika kita berada di pihak yang benar, maka bentangkan hujah yang munasabah, kerana barangkali mereka tidak tahu dan tidak faham.

 Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Dato' Dr Fadzilah Kamsah baru-baru ini. Hanya kerana kenyataan beliau tidak memihak kepada Pakatan Rakyat, habis kisah-kisah lama, kisah-kisah keluarga dan gambar-gambar dikorek hingga ke lubang cacing untuk mengaibkan dan menjatuhkan beliau. Inikah akhlak pejuang-pejuang yang kononnya ingin menegakkan syiar Islam? Mengapa bukan hujah dan fakta yang dihujankan kepada Dr Fadzilah Kamsah agar beliau faham? Kita marah mereka mengutuk dan memerli pihak kita, tetapi kita dengan senang hati dan tanpa bersalah berbuat demikian saban hari. Jadi dimanakah perbezaan kita dengan mereka??


Tahi dibalas bunga

Pembalasan cacian dengan cacian, fitnah dengan fitnah dianggap "halal" bagi sesetengah orang kerana mereka mengganggap itulah balasan mereka. Tapi apakah ini yang dianjurkan oleh Rasulullah? Kita berasa sudah paling sayang Rasulullah dengan berarak sambil berselawat untuk 30 minit pada Maulidur Rasul yang lepas, tetapi kenapa kita tidak mahu mengamalkan sunnah baginda? Di saat Rasulullah di lempar tahi, dilempar batu, diletakkan duri, di caci dan dihina, Rasulullah hanya bersabar dan meneruskan dakwah baginda dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Boleh bayangkan apa yang akan terjadi kepada Islam sekarang jika Rasulullah membalas tahi dengan tahi, batu dengan batu, dan cacian dengan cacian? Kesan itu jugalah berlaku sekarang. Semangat perjuangan Islam dilaungkah oleh kononnya "pejuang-pejuang Islam alam maya" ini, tapi roh perjuangan Rasulullah dalam menegakkan syiar Islam lansung tidak diikuti dan dijadikan contoh.

Jangan pernah putus harapan pada rahmat Allah. Kita harus percaya bahawa jika kita sabar dalam perjuangan dan bertindak selaras dengan tuntutan Islam, kelebihan akan sentiasa menyebelahi kita kerana Allah telah berjanji dalam surah Al Anfaal ayat 66 :

"Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan dia telah mengetahui bahwa padamu ada kelemahan. Maka jika ada diantaramu seratus orang yang sabar, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika diantaramu ada seribu orang (yang sabar), niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan seizin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar. "


Fahami perjuangan dan beradab

Jadi dengan ini, saya menyeru kepada rakan-rakan tidak kira di pihak mana kita berada, agar hidupkan akhlak yang mulia dalam perjuangan. Hentikan caci maki, hina menghina, kutuk mengutuk, fitnah menfitnah dan sebagainya. Jika satu pihak melakukan perkara yang sedemikian, balas dengan fakta dan hujah secara berhikmah. Jangan biarkan amarah menguasai pendirian dan tindakan kita kerana dalam satu hadith, Rasulullah bersabda : 

"Orang kuat itu bukanlah yang menang bergusti tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya" (HR Bukhari dan Muslim)

Jadi, marilah kita mulakan dengan diri kita, buang politik sempit dan bersama ke arah politik yang lebih matang dan bersama "Kearah Malaysia yang Lebih Baik".



Spread the love, Stop the hatred


Abdul Hadi bin Ruslan
27 Februari 2013


No comments: