23 Dec 2010

Cantik yang membunuh

Dunia moden memperdayakan wanita dengan mengutarakan nilai-nilai baru yang kononnya boleh menjadikan kaum wanita maju lagi dihormati. Satu di antara asoe yang ditekankan adalah kecantikan dari kaca mata dan piawaian kaum lelaki, supaya dengannya seseorang wanita dianggap moden lagi progresif. Mengikut piawaian ini, saiz badan wanita mestilah mengikut ukuran tertentu, demikian juga dengan payu dara mereka. Bagi mencapai tujuan itu, mereka digalakkan memakan dan menyapu ubat-ubat tertentu yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat multinasional.

Pembedahan plastik yang mempunyai seribu satu risiko dianggap sebagai perkara biasa demi kecantikan. Alat-alat kosmetik yang juga dikeluarkan oleh syarikat-syarikat multinasional mestilah digunakan supaya wanita menjadi lebih anggun dan mempunyai kelas. Tanpa disedari, wanita moden menjadi hamba kepada nilai baru ini di atas nama kebebasan dan kemodenan atau liberated dan golongan yang mengikut batas-batas agama dan tidak mahu menjadi hamba kepada nilai ini dan syarikat-syarikat multinasional yang menaunginya, dianggap kolot dan tertindas atau oppressed.

Di Barat, Nancy Etcoff, seorang ahli sains dan pakar psikologi, di dalam bukunya, Survival of the Prettiest : The Science of Beauty menyelar budaya kecantikan ini. Beliau berkata, " Di dalam tahun 1996, 6996904 wanita menjalani pembedahan kecantikan di Amerika. Pembedahan mencantikkan payu dara yang suatu ketika dahulu hanya melibatkan pelakon-pelakon Hollywood dan pelakon adegan lucah, sekarang menjadi perkara biasa di kalangan suri rumah. Di Brazil, jumlah wanita yang menjadi ahli Avon adalah lebih ramai daripada bilangan tentera yang sanggup berkorban untuk negara. Di Amerika, perbelanjaan membeli barangan kecantikan melebihi perbelanjaan untuk pendidikan dan khidmat sosial. Melihat kepada gelagat manusia yang sanggup melakukan apsa sahaja demi kecantikan, dan untuk itu sanggup mendedahkan diri kepada risiko-risiko besar, seolah olah menampakkan kehidupan keseluruhannya hanya bergantung kepada kecantikan semata-mata.

Tanpa disedari, ramai wanita hari ini rela dipaparkan sebagai alat dan objek seks. Wanita yang sering mendapat tempat di dalam media massa adalah mereka yang digelar simbol seks. Mereka dianggap model yang ingin dicontohi. Kecantikan, pakaian dan tubuh badan mereka dicemburui oleh ramai wanita lain. Isu yang paling penting bagi ramai wanita hari ini adalah kecantikan.Di dalam The American Prospect, Wendy Kaminer dalam artikelnya bertajuk American Beauty berkata, " Saya kira kita sudah maju kehadapan. Suatu masa dahulu gerakan pembebasan wanita berpendapat, perjuangan menuntut hak di antara lelaki dan wanita akan membebaskan wanita daripada pengaruh tipu daya kecantikan dan fesyen. Itu dahulu. Sekarang golongan wanita menganggap berpakaian dengan menonjolkan dada di samping skirt pendek adalah lambang kebebasan. Ia seolah-olahnya menampakkan lambang penindasan yang berlaku ke atas wanita pada hari ini adalah bukan diskriminasi di tempat kerja ataupun keganasan seksual, sebaliknya lambangnya adalah kegagalan wanita memperoleh kasut yang sesuai..Wanit yang tidak cantik dipandang sebagai wanita yang tidak sempurna, wanita yang mundur!."

Kesan daripada keghairahan ini, pembedahan kecantikan atau plastic surgery bertukar menjadi sebuah industri perniagaan yang besar. Mengikut perangkaan tahun 1999, 89% daripada pembedahan ini melibatkan kaum wanita. Peratus prosedur kecantikan pula meningkat 27.5 peratus dalam jangka masa sedekad dan bagi tahun 1999 sahaja jumlah pelanggannya melebihi satu juta orang.

"Dipetik daripada teks Dr. Danial Zainal Abidin di dalam buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden. "

No comments: